
Petisyen Titik Permulaan,Sabah Juga Mesti Tuntut Keadilan.
27 Februari 2026
SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga, Lisa Hassan Alban menyatakan sokongan penuh terhadap petisyen bersejarah yang difailkan oleh Sarawak di Mahkamah Persekutuan pada 24 Februari 2026 untuk mencabar keperlembagaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74), Akta Pelantar Benua 1966 (CSA66) dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 (PMA66).
Menurut beliau, langkah Sarawak ini merupakan pemasyhuran kuasa terhadap hak-hak yang telah dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jelasnya, MA63 dimenterai sebagai sebuah rangka kerjasama dan takzim, bukan sebagai alat menguasai Negeri Borneo dalam Persekutuan ini.
Katanya lagi, dengan menuntut autonomi ke atas sumber asli dan kepatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan, petisyen ini telah membangkitkan semangat sebenar MA63.
“Saya berdiri teguh bersama Sarawak,” tegas Lisa dalam satu kenyataan media.
Beliau menambah, “Kami sedar bahawa PDA74, CSA66 dan PMA66 akan dicabar bukan sekadar elemen undang-undangnya tetapi juga moral dan sejarahnya. Telah berdekad-dekad, undang-undang ini menghakis hak Sabah dan Sarawak, menafikan kepentingan kita mengawal sumber penting kita iaitu minyak dan gas.”
“Tanggungjawab menuntut hak dan melindungi MA63 juga terletak pada kita, Sabah. Kita mesti bangkit dan mempertahankan apa yang menjadi hak kita. Ini bukan perjuangan Sarawak sendirian; ini adalah perjuangan kita bersama. MA63 bukannya suatu pakatan politik; ia adalah perjanjian antarabangsa yang mesti dihormati dan ditegakkan bersungguh-sungguh,”
“Apa lagi yang lebih bermakna selain memastikan generasi akan datang mewarisi Sabah yang berdaya dan bermaruah? Maka sebab itulah Kerajaan Sabah juga mesti menuntut perkara yang sama atau mengaku bahawa kerajaan memang tidak peduli. Tiada tuntutan, tiada maruah,” tegasnya.




